Pages

Saturday, June 29, 2013

Sotong Sambal Hijau



Sotong Sambal Hijau - Amy
Bahan kisar:-
500 gm sotong
10 biji cili hijau besar
5 biji cili padi hijau
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Bahan lain:-
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 biji limau nipis – ambil airnya
Garam, gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
Cara:
1.  Panaskan minyak dalam kuali, masukkan
     bahan kisar tadi dan kacau sehingga garing.
2.  Perahkan sebiji air limau nipis. Kacau rata.
3.  Masukkan garam dan gula ikut rasa masak sehingga
     pecah minyak.
4.  Masukkan sotong, bawang besar dan gaul rata.
5.  Biarkan sebentar supaya sotong masak dan bawang
     sedikit layu.
6.  Hidang dengan nasi putih.

Wednesday, June 26, 2013

Wasiat Luqman Al Haqim


25 Wasiat Luqman Hakim Kepada Anaknya
Bicara Luqman dengan anaknya menerusi satu riwayat 
dalam kitab Tafsir Rahul Ma'ani dan Kitab Hidayatul 
Mursyidin, diriwayatkan telah memberikan anaknya 
dua puluh lima wasiat iaitu:

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan 
yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. 
Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah 
lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya 
ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku, janganlah engkau menelan terus sesuatu 
makanan kerana manisnya dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana 
manis itu belum tentu mendatangkan kesegaran dan 
pahit itu belum tentu mendatangkan musibah.

3. Hai anakku, apabila engkau ingin mencari teman 
sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannnya. Bila mana dalam kemarahan 
dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau maka 
bolehlah engkau ambil sebagai teman dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.

4. Perbaikilah tuturkatamu, halus budi bahasamu dan 
manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang 
melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah 
memberikan barang yang berharga kepadanya.

5. Hai anakku, janganlah engkau terlalu mudah ketawa 
kalau bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau 
berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau 
menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri 
kamu dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia 
kamu.

6. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar 
keperluanmu, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk 
akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul 
sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau 
rangkul dunia ini dan meneguk habis airnya, kerana 
sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai 
itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan 
orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan membahayakan diri kamu.

7. Hai anakku, apabila engkau berteman, jadikanlah 
dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripaamu.

8. Jadikanlah dirimu dalam setiap perkara sebagai 
seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau 
menagih sanjungan dari orang lain, kerana penguasaan 
riya' itu akan menyebabkan diri kamu beroleh kecelakaan.

9. Hai anakku, janganlah engkau cenderung kepada 
dunia semata-mata dan hatimu jangan disibukkan 
dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau 
diciptakan oleh Allah bukan untuk urusan dunia sahaja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan 
orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

10. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan 
mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar 
kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam 
diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu 
mendatangkan manfaat kepada orang lain.

11. Hai anakku, bukanlah sesuatu kebaikan namanya 
apabila engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang 
yang mencari kayu bakar, setelah banyak terkumpul 
maka dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih 
terus mengumpulkannya.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang 
berlebihan kerana sesungguhnya makan yang terlalu 
kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu 
dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan 
kepada anjing sahaja.

13. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan 
disayang, sesiapa yang suka berdiam diri sudah tentu 
akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara 
yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak 
mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor,
sudah tentu akan menyesal.

14. Hai anakku, bergaul mesralah dengan orang alim 
dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya 
kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, akan hiduplah hatimu dengan cahaya hikmah 
dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang 
subur disiram air hujan.

15. Hai anakku, bila engkau mengahdapi dua pilihan, 
menjenguk orang mati atau menghadiri pesta 
perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih 
menjenguk orang mati. Sebab menziarah orang mati 
itu akan mengingatkan kamu kepada kampung 
akhirat, sedangkan menghadiri pesta perkahwinan 
itu hanya akan mengingatkan kamu kesenangan 
dunia.

16. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang 
taqwa dan musyawarahlah segala urusanmu dengan 
para alim ulama dengan cara memohon nasihat 
daripadanya.

17. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya 
untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat 
penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar 
setelah menerima nasihat daripada orang lain, akan 
sentiasa menerima kemuliaan dari Allah swt.

18. Hai anakku, seandainya orang tuamu memarahimu, 
maka marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-
tanaman yang kering kontang.

19. Jauhilah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di siang 
hari dan hina di malam hari.

20. Selalulah berharap kepada Allah agar menjauhkan 
kamu daripada sesuatu yang menyebabkan kamu 
menderhaka kepada-Nya. Takutlah kepada Allah dengan 
benar-benar takut, tentulah engkau akan terlepas dari 
sifat putus asa daripada rahmat Allah swt.

21. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa 
beratnya mengangkat batu yang besar dan besi yang 
amat berat tetapi adalah lebih berat daripada itu semua 
apabila engkau mempunyai jiran yang jahat.

22. Hai anakku, janganlah sekali-kali engkau 
mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan jahat. 
Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, 
sebaiknya engkau sendiri sahajalah yang menjadi utusan.

23. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat dusta, sebab berrdusta 
itu enak sekali mengerjakannya bagaikan memakan 
daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta 
yang dilakukan, akibat dan bahayanya amat besar.

24. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan 
rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka 
orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan 
lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan 
dirinya daripada melakukan maksiat.

25. Hai anakku, seorang pendusta itu akan hilang air 
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang 
yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan 
dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. 
Ketahuilah bahawa memindahkan batu besar yang berat 
dari tempat asalanya adalah lebih mudah daripada 
memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak 
mahu mengerti. 
Sumber di sini.

Tuesday, June 25, 2013

6 Kebaikan Mandi Sebelum Subuh


6 KEBAIKAN MANDI SEBELUM SUBUH
Menurut kajian sains, kandungan gas ozon pada waktu
pagi lebih tinggi dari waktu lain. oleh itu, gas ozon ini 
juga amat penting untuk tubuh badan anda. jika anda 
mandi sebelum waktu subuh, ia bukan sahaja 
membersihkan malah memberikan kesegaran dan 
manfaat untuk tubuh badan anda. antara manfaatnya 
ialah :

1. Kulit lebih lembut dan halus
pada waktu pagi selalunya anda akan memasang 
"water heater" untuk mendapatkan air yang hangat 
dan menghilangkan kesejukan. selepas ini, jika anda 
memiliki lingkaran hitam di bawah mata, mandi 
menggunakan air sejuk dapat mengurangkan kegelapan 
pada bawah mata. begitu juga dengan kuku, ia akan 
menjadi lebih sihat, kuat dan tidak mudah retak. kulit 
pula menjadi lebih lembut dan halus.

2. Melancarkan peredaran darah
jika peredaran darah anda lancar maka tubuh badan 
anda akan menjadi lebih sihat dan bertenaga. malah 
anda juga boleh melakukan aktiviti seharian tanpa 
rasa letih.

3. Meningkatkan kesuburan
kesihatan tubuh badan manusia akan mendapat reaksi 
yang positif apabila anda mandi pada waktu pagi. ia 
dapat meningkatkan hormon testosteron pada lelaki 
dan hormon estrogen untuk wanita.

4. Mengurangkan risiko darah tinggi
untuk anda yang memiliki penyakit darah tinggi, 
mungkin ini merupakan salah satu cara untuk anda mengurangkan penyakit anda. Insya ALLAH, dengan 
izin ALLAH, jika ia diamalkan selalu, penyakit anda 
akan pulih.

5. Mengurangkan tekanan serta tenang
air yang sejuk akan melancarkan kembali peredaran 
darah setelah lama berbaring. buat anda yang 
mengalami depresi, inilah cara yang terbaik untuk 
anda menghilangkannya. oleh itu, ubahlah tabiat kepada
mandi pagi sebelum subuh.

6. Meningkatkan sel darah putih
mandi dengan air sejuk, ia akan meningkatkan sel darah 
putih di dalam tubuh badan. apabila sel darah putih 
banyak, maka daya tahan penyakit dan tubuh badan boleh melawan virus. oleh itu, anda tidak mudah untuk dijangkiti dengan sebarang penyakit...
Ada lagi ke anak-anak mandi air panas pagi-pagi guna
air yang dimasak ?...kebanyakkan rumah dah ada 'water
heater' kalau tak ada pun alat ni, rasanya anak-anak 
sekarang tak kisah mandi air sejuk. Anak-anak saya pula 
memang tak kisah air sejuk ke panas ke...janji boleh mandi.

Ayam Masak Lemak Merah...Masakan Kegemaran Ibu....

Masakan ini adalah masakan kegemaran arwah ibu.
Kalau ayam, arwah jarang buat rendang, tapi suka
masak macam ni. Daging arwah ibu suka buat rendang. 

Ayam Masak Lemak Merah – Amy.
Bahan-bahan:
1 / 2 ekor ayam – dipotong sederhana
2 cawan santan – ( santan cair dan santan pekat)
3 sudu besar cili giling (cili kering).
3 biji ubi kentang dibelah empat
2 batang serai diketuk
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas

Cara:
1.  Tumis bahan kisar hingga berbau wangi.
2.  Masukkan cili. Masak sehingga garing.
3.  Masukkan santan cair, kentang dan ayam
  yang sudah di garam dan dikunyitkan.
4.  Masukkan serai ketuk, dan biar kentang empuk.
5.  Masukkan santan pekat, garam, gula dan biar
   mendidih dan kuah agak pekat sedikit.
6.  Padamkan api dan boleh dihidang.



Monday, June 24, 2013

Malam Ni..Malam Nisfu Syaaban

Hari ni 23/6/13 ..malam ke 15 Syaaban.Alhamdulillah..
Allah masih panjangkan umur, masih sihat walafiat..
Malam ini malam Nisfu Syaaban, malam yang di
istilahkan oleh Imam Ghazali sebagai malam yang
penuh dengan syafaat (pertolongan).

Pada malam ke 15, umat Islam dapat memiliki
banyak sekali kebaikan sebagai penutup catatan
amalnya selama satu tahun, kerana pada malam
ke 15 bulan Syaaban inilah catatan perbuatan
manusia penghuni bumi akan di naikkan ke
hadapan Allah SWT.

Selamat Beramal.....



Sunday, June 23, 2013

Kerabu Kacang Botor


  Bila sebut kacang botor ada yang sebut kacang botol,
  tapi dua-dua boleh pakai agaknya, asal orang faham.
  
  KERABU KACANG BOTOR
  Bahan
  20 tangkai kacang botorl [hiriskan nipis]
  1 tangkai bunga kantan [hiriskan]
  2-3 tangkai daun selom
  1 cawan kelapa parut
  1 labu bawang besar [hiriskan]
  5 biji limau kasturi [ambil jus]
  garam dan gula secukup rasa.

  Bahan Mesin
  5 tangkai cili merah
  3 ulas bawang merah
  1 s/b udang kering

Cara.
1.  Masukkan bahan mesin, kelapa parut dan
    garam dalam kuali. Kacau sehingga agak
    kering.
2. Tutup api. Masukkan semua bahan sayuran,
    gula dan jus asam limau. Kacau rata.
3. Hidangkan.
 

Hari Pendaftaran di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS)

Assalam…Hari Ahad lepas 16/6, kami pergi ke Sabak 
Bernam sebab nak cari Politeknik tempat kak Diba 
sambung belajar. Lapur diri pagi Isnin 17/6, oleh 
kerana kami tak pernah sampai ke Politeknik ni, 
bimbang juga kalau tersesat jika pergi pada hari lapur 
diri tu. Jadi kami ambil keputusan untuk datang sehari 
awal dan cari kawasan tu.
 





Kami booking bilik di D’Muara Marine Park Resort, 

untuk memudahkan pergi awal pada hari pendaftaran.
Lepas check in dan solat Zohor, rehat-rehat sambil 
tunggu Solat Asar, lepas solat Asar kami keluar untuk
cari Politeknik Sultan Idris Shah di Sg. Air Tawar. 
Rupa-rupanya 30 km jauhnya dari jalan utama Sabak 
Bernam -Teluk Intan. Jalannya tak sibuk, tapi dah ada 

homestay di kawasan tersebut. Besar sungguh kawasan 
Politeknik tu, tapi kami sampai dekat depan pintu pagar 
aje, lepas tu kami patah balik…nak tau kawasan tu saje.



Pagi esoknya hari Isnin, kami sarapan dulu, lepas sarapan
baru ke Politeknik. Sampai aje di Politeknik, dah ramai
(terlampau ramai) keluarga dan pelajar yang sampai
untuk lapor diri. Taklimat pelajar dah pun mula walaupun
belum 8.30 pagi. Kami berdiri sekejap aje, lepas tu pelajar
pelajar di arah masuk ke dewan untuk urusan 
pendaftaran.Ingat bolehlah snap gambar budak-budak 
tu, tapi ramai lak mak bapak depan pintu dewan tu, 
dari jarak jauh ajelah ambil gambar, nasib kamera yang 
di bawa boleh zoom. Itupun asyik kena blok dengan 
kepala satu perempuan tu.  



Urusan pendaftaran tak lama, belum kul 10.00 pagi
dah selesai, dapat kunci bilik terus ke blok asrama
pelajar perempuan. Masuk bilik dah ada pelajar yang
dah siap berkemas katil dan almarinya. Satu bilik ada
empat katil, tapi hanya 3 orang je ditempatkan disitu.
Pukul 11.40 pagi kami balik, sementara kak Diba dah
jumpa kawan yang satu sekolah teknik dulu. Dia orang
melepak tepi tasik, sebelum makan tengahari didewan.
Petang pulak sesi suaikenal sudah bermula sehingga
hari Jumaat.



Friday, June 21, 2013

Hmmm Lega....Alhamdulillah!!!!



Assalam…Alhamdulillah…lega bila cik lappy
dah ok…tapi banyak jugalah cik ringgit yang keluar.
Lega lagi sebab urusan kak Diba dah selesai…dah
selamat melapur diri di Politeknik.

Cuma urusan apartment tak selesai lagi…ingat nak
jual…bila cik lappy masuk rumah sakit…urusan untuk 
menjual melalui internet tergendala sebentar..
Lepas ni dah boleh diuruskan…Insya Allah.

Urusan En.Hubby akan bertambah…nampak gayanya
Cutinya akan berkurangan…sebab ada 2 orang anak
yang dah duduk berjauhan…urusan untuk menjenguk
anak dah ada dua tempat…satu di Kuala kangsar dan
satu di Sabak Bernam….kalau ada hasrat nak bercuti
kemana-mana …kena cari tempat yang dekat ajelah…
Kalau jauh kena ada cuti lebih…hmmm…

Saya pulak kena uruskan kerja rumah sorang-sorang
semula…masa Kak Diba cuti dulu…pinggan mangkuk,
sidai kain, lipat kain…dia tolong uruskan…kalau harap
si Ira…tak sudah-sudah Gwiyomi…Gwiyomi..Gwiyomi…!!! 
Saya kata kat si Ira... adik sebut Subhanallah...banyak
dapat pahala dik.....dari menghafal dan menyebut yang
begitu... sengih aje dia.!!!

Saturday, June 15, 2013

Agar-agar Kastard Jagung


Kalau anda semua rajin masak Puding Jagung, apakata
kalau buat kelainan sedikit, dengan menambah agar-agar
dalam hidangan ini. Memang sedap sangat...

Agar-agar Kastard Jagung _ Amy
Bahan-bahan:
1 paket agar-agar
1 1/2 cawan gula
4 cawan air
2 helai daun pandan disimpul
Bahan Kastard:
1 kotak santan
1 tin jagung krim
1/2 cawan  tepung kastard
1 cawan air
1/2 cawan gula

Cara:
1. Rebus agar-agar sampai hancur. Masukkan daun 
    pandan sekali.
2. Masukkan gula, masak hingga gula sebati.
3. Keluarkan daun pandan. Tutup api
4. Tuangkan agar- agar dalam acuan.
5. Tepung kastard, santan kotak , gula, jagung krim,
   air di campur dalam satu bekas dan gaul sebati.
6. Masak adunan kastard hingga likat dan berkilat,
7. Tuang dalam bekas yang berisi agar-agar tadi,
   letak di tengah-tengah. [acuan puding dua lapis]
8. Sejukkan barulah dipotong dan dihidang.


Wednesday, June 12, 2013

Tempe Rangup Goreng Bercili Kudapan Yang Enak!!!

 Resepi ini saya belajar dari Bibik Singapore. Anak saya 
dah lama nak makan benda ni, asyik dok tanya 
"Bila nenek Singapore nak buat tempe goreng, 
orang dah lama tak makan?..." kata Si Ira Nasuha.
Masa saya bekerja dulu, bibik Singapore ni yang
uruskan rumah dan jaga anak-anak saya. Jadi tempe
goreng bercili ini menjadi kudapan oleh anak-anak
semasa menonton tv, dan saya ibunya tumpang dua
kaki...hik..hik..hik!!! Kebetulan bila bibik ni datang
Malaysia selepas duduk bercuti di Australia selama 
2 bulan, dia datang kenduri kahwin di Malaysia dan
kami ajak tidur dirumah. Saya pun ambil peluang
belajar, dulu tak 'dan' nak belajar, balik kerja malam,
tau-tau dah ada kudapan [sebenarnya lauk makan]
atas meja.

Tempe Rangup Goreng Bercili - Amy
Bahan - bahan:

3 paket tempe – hiris nipis-nipis
1 cawan ikan bilis – cuci dan toskan
3 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar cuka
7 sudu besar gula
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara:
   1..   Panaskan minyak masukkan tempe,
    Goreng sehingga rangup/garing. Angkat
    dan ketepikan.
2.   Goreng pula ikan bilis sehingga garing.
    Ketepikan juga setelah diangkat.
3.   Bawang besar dan bawang putih kisar.
4.  Tumiskan bawang kisar sehingga naik bau.
5.   Masukkan cili kisar, tumis  sehingga garing
    Dengan api perlahan.
6.  Masukkan sedikit cuka, garam dan gula.
7.  Masak sehingga garing dan kering. TUTUP API.
8.  Masukkan tempe dan ikan bilis yang telah
    digoreng garing. Gaul rata supaya cili
    meliputi Kesemua bahan.
9.  Biarkan sejuk dahulu, baru masukkan
    dalam balang atau bekas kedap udara.
10.Sedap dimakan bersama nasi atau dimakan
    begitu sahaja sambil menonton tv. 
Nota* Kalau ikan bilis banyak, garam sedikit saja
        untuk mengelak rasa masin.

Monday, June 10, 2013

Tiba-tiba Blackout !!!!


Assalam.....dah lama tak update blog.. Sibuk uruskan
keperluan Kak Diba untuk ke Politeknik..
Tiba-tiba lak blackout...!!!! Bukan BLACKOUT 505 
tu...tapi cik lappy kita...!!!!Belum hantar lagi 
kerumah sakit..Update ni guna notebook Kak Diba...

Tapi minggu depan dah tak boleh guna note book 
Diba sebab  dah nak kena angkut ke Politeknik...
hmmm...Nampak gayanya kena hantar jugalah 
cik Lappy masuk rumah sakit....kalau idak tak 
berasaplah...Eh!!..macam dapur pula nak berasap...
tapi dapur sekarang pun mana ada yang berasap ?....

Sekejap aje masa berlalu..hari ini dah 1 Syaaban..
tak lama lagi Ramadhan.... Ya Allah panjangkanlah
umur kami semua, berikan kesihatan yang sempurna
zahir dan batin...untuk kami bertaubat dan beramal 
ibadat....biarlah kami hidup dalam Iman..mati dalam
Iman....ke akhirat dengan Iman...Aminnnnn....