Friday, December 2, 2011

Nasi Ayam Goreng Madu



Saya tak tau nak masak apa untuk makan malam...fikir punya fikir, masak nasi ayamlah...kebetulan stok madu ada lagi...ohhh buat ayam goreng madu lahhhh....!!!!
NASI AYAM GORENG MADU  - Amy

Bahan-bahannya
3 cawan beras basmathi
3 sudu besar halia yang telah dikisar
3 sudu besar bawang putih yang telah dikisar
2 helai daun pandan
sedikit garam
1 kiub perasa ayam
4 cawan air dari kuah sup
minyak/mentega untuk menumis

Cara-caranya
Panaskan minyak/mentega untuk menumis. (dalam kuali)
Kemudian masukkan halia dan bawang putih yang telah dikisar.
Tumis sehingga naik bau.Matikan api.
Masukkan beras ke dalam rice cooker, masukkan air sup, garam, kiub perasa ayam,  dan daun pandan gaul rata.
Kemudian masukkan bahan yang ditumis, tutup periuk nasi dan biarkan ia masak. 


Sementara tunggu nasi masak, saya buat sos cili untuk nasi ayam. Cara buat sos ni saya ikut dari blog Diana, tetapi saya buat untuk cukup-cukup kami anak-beranak saja. Kalau ikut resepi asal Diana banyak sangat, tapi saya letakkan juga resepi asal Diana seperti dibawah:- 

SOS NASI AYAM DIANA

Bahan-bahannya
15 batang lada merah
5 ulas bawang putih
1 ibu jari halia
15 biji limau kasturi, ambil jusnya
3/4 cawan air masak
1 sudu teh garam
1/2 cawan gula
* semua bahan-bahan di atas saya kurangkan dan buat cukup-cukup untuk satu keluarga saja, itupun sos lebih juga, sebab anak-anak kalau makan nasi ayam tak suka makan sosnya.)
 
Cara-caranya
Kisar bawang putih, halia dan lada merah bersama jus limau kasturi, garam dan gula. Kemudian masukkan air masak. Kisar lagi. Rasa sekiranya ada kurang tambah garam, gula mengikut citarasa dan boleh dihidangkan bersama nasi ayam.
* saya masak bahan-bahan diatas selepas dikisar. 
Cara buat sos kicap ni, saya ikut dari internet.
Untuk sos kicap.
Mayang bawang putih. Tumiskan sehingga naik bau. Masukkan kicap dan sedikit sup ayam tadi.

Cara masak ayam goreng madu pun ikut cara Diana, cuma saya buat setengah ekor ayam saja, dan bahan yang lain dikurangkan. Cara masak ayam goreng madu seperti berikut:- 

AYAM GORENG MADU (untuk Nasi Ayam)
Bahan-bahannya
1 ekor ayam
3 sudu besar madu
4 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap
1 sudu besar minyak bijan /minyak jagung
air untuk rebus secukupnya
minyak untuk menumis

Untuk dikisar
1 ibu jari halia
1 bawang besar
2 ulas bawang putih

Cara-caranya
Bersihkan ayam dan jangan dipotong biarkan ia seekor.
Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
Kemudian tuangkan air, dan biarkan ia mendidih.
Kemudian masukkan ayam dan direbus hingga ia masak. Kalau nak tahu ayam sudah masak atau belum cucuk pehanya dan sekiranya tidak ada darah angkat ayam dan toskan airnya.
Campurkan madu, sos tiram, kicap dan minyak bijan. Sapukan rata pada ayam yang telah direbus itu.
Perap untuk 1 - 2 jam.
Panaskan minyak secukupnya untuk goreng ayam, minyak mestilah banyak. Goreng ayam hingga kulitnya garing. Jangan goreng ayam terlalu lama sekadar untuk garingkan kulitnya.
Angkat dan toskan minyaknya. Itulah rahsia ayam yang isinya lembut didalam dan mendapat kulit yang garing.
Hasilnya...nasi licin, ayam pun licin....habisss..






No comments:

Post a Comment

Entry lain yang anda mungkin suka...

Related Posts with Thumbnails