Wednesday, November 14, 2012

Merebut Kelebihan Bulan Muharram

Merebut kelebihan bulan Muharram
ALLAH SWT berfirman (maksudnya),

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah
12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA
menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat
bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus,
maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam
bulan yang empat itu.”
(Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi SAW bersabda,
“Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak
ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada
12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan
berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam,
dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara
Jamadilakhir dan Syaaban.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki
keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan
Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling
afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa 
Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. 
Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan 
adalah solat pada malam hari.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan
haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya
turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih 
diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya.
Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran
yang besar.

Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di 
mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan 
lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan 
kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. 
Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijjah di mana 
umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan 
melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan 
yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam 
supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke 
wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling 
berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun
pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam
di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah
dan melaksanakan umrah dengan aman.
(Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat
Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya 
umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada 
ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan 
untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus
pada Muharam adalah berpuasa sunnah.Sebagaimana 
disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal 
setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud 
puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara 
umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam 
bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 
Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah 
dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang 
berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” 
Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang 
baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan 
bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa 
pun berpuasa tanda syukur beliau kepada ALLAH dan 
kami pun turut serta berpuasa.
Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap 
Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun 
berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk 
berpuasa.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa
fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa
‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa.
Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap
terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan
umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan
turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan
tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang
hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa,
bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura
(hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa
pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa
pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya
untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai
Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan
oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun
depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat
sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan
agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali
sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar
berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa
‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari
Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim) -Harakah Daily
Sumber: di sini



No comments:

Post a Comment

Entry lain yang anda mungkin suka...

Related Posts with Thumbnails