Wednesday, June 26, 2013

Wasiat Luqman Al Haqim


25 Wasiat Luqman Hakim Kepada Anaknya
Bicara Luqman dengan anaknya menerusi satu riwayat 
dalam kitab Tafsir Rahul Ma'ani dan Kitab Hidayatul 
Mursyidin, diriwayatkan telah memberikan anaknya 
dua puluh lima wasiat iaitu:

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan 
yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. 
Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah 
lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya 
ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku, janganlah engkau menelan terus sesuatu 
makanan kerana manisnya dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana 
manis itu belum tentu mendatangkan kesegaran dan 
pahit itu belum tentu mendatangkan musibah.

3. Hai anakku, apabila engkau ingin mencari teman 
sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannnya. Bila mana dalam kemarahan 
dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau maka 
bolehlah engkau ambil sebagai teman dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.

4. Perbaikilah tuturkatamu, halus budi bahasamu dan 
manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang 
melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah 
memberikan barang yang berharga kepadanya.

5. Hai anakku, janganlah engkau terlalu mudah ketawa 
kalau bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau 
berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau 
menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri 
kamu dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia 
kamu.

6. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar 
keperluanmu, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk 
akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul 
sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau 
rangkul dunia ini dan meneguk habis airnya, kerana 
sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai 
itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan 
orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan membahayakan diri kamu.

7. Hai anakku, apabila engkau berteman, jadikanlah 
dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripaamu.

8. Jadikanlah dirimu dalam setiap perkara sebagai 
seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau 
menagih sanjungan dari orang lain, kerana penguasaan 
riya' itu akan menyebabkan diri kamu beroleh kecelakaan.

9. Hai anakku, janganlah engkau cenderung kepada 
dunia semata-mata dan hatimu jangan disibukkan 
dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau 
diciptakan oleh Allah bukan untuk urusan dunia sahaja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan 
orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

10. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan 
mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar 
kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam 
diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu 
mendatangkan manfaat kepada orang lain.

11. Hai anakku, bukanlah sesuatu kebaikan namanya 
apabila engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang 
yang mencari kayu bakar, setelah banyak terkumpul 
maka dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih 
terus mengumpulkannya.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang 
berlebihan kerana sesungguhnya makan yang terlalu 
kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu 
dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan 
kepada anjing sahaja.

13. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan 
disayang, sesiapa yang suka berdiam diri sudah tentu 
akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara 
yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak 
mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor,
sudah tentu akan menyesal.

14. Hai anakku, bergaul mesralah dengan orang alim 
dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya 
kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, akan hiduplah hatimu dengan cahaya hikmah 
dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang 
subur disiram air hujan.

15. Hai anakku, bila engkau mengahdapi dua pilihan, 
menjenguk orang mati atau menghadiri pesta 
perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih 
menjenguk orang mati. Sebab menziarah orang mati 
itu akan mengingatkan kamu kepada kampung 
akhirat, sedangkan menghadiri pesta perkahwinan 
itu hanya akan mengingatkan kamu kesenangan 
dunia.

16. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang 
taqwa dan musyawarahlah segala urusanmu dengan 
para alim ulama dengan cara memohon nasihat 
daripadanya.

17. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya 
untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat 
penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar 
setelah menerima nasihat daripada orang lain, akan 
sentiasa menerima kemuliaan dari Allah swt.

18. Hai anakku, seandainya orang tuamu memarahimu, 
maka marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-
tanaman yang kering kontang.

19. Jauhilah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di siang 
hari dan hina di malam hari.

20. Selalulah berharap kepada Allah agar menjauhkan 
kamu daripada sesuatu yang menyebabkan kamu 
menderhaka kepada-Nya. Takutlah kepada Allah dengan 
benar-benar takut, tentulah engkau akan terlepas dari 
sifat putus asa daripada rahmat Allah swt.

21. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa 
beratnya mengangkat batu yang besar dan besi yang 
amat berat tetapi adalah lebih berat daripada itu semua 
apabila engkau mempunyai jiran yang jahat.

22. Hai anakku, janganlah sekali-kali engkau 
mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan jahat. 
Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, 
sebaiknya engkau sendiri sahajalah yang menjadi utusan.

23. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat dusta, sebab berrdusta 
itu enak sekali mengerjakannya bagaikan memakan 
daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta 
yang dilakukan, akibat dan bahayanya amat besar.

24. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan 
rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka 
orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan 
lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan 
dirinya daripada melakukan maksiat.

25. Hai anakku, seorang pendusta itu akan hilang air 
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang 
yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan 
dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. 
Ketahuilah bahawa memindahkan batu besar yang berat 
dari tempat asalanya adalah lebih mudah daripada 
memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak 
mahu mengerti. 
Sumber di sini.

No comments:

Post a Comment

Entry lain yang anda mungkin suka...

Related Posts with Thumbnails