Rendang ni jadi kegemaran saya, tak kiralah hari biasa atau hari raya.Masakan ni selalu dimasak oleh kakak ipar, tapi semenjak suaminya meninggal (arwah abang) dia jarang masak rendang ni lagi. Sekarang memang payahlah lagi nak merasa, sebab dia dah ambil keputusan balik ke kampungnya di Johol N.Sembilan.
Kakak ipar masak rendang ni - paru dicampur dengan daging, tapi saya lebih suka paru sahaja, jadi saya masak rendang ni ikut cara saya .
RENDANG PARU - Amy.
Bahan-bahannya:-
1 kilogram paru - rebus dan potong nipis- nipis
4 biji kelapa, di buat santan (beli ready made-senang je)
150 gram cili kering giling /blend - (beli je kalau malas nak mesin)
Bahan untuk dimesin halus:-
5 ulas bawang putih
10 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1 inci halia
3 batang serai
garam secukupnya
Bahan untuk dihiris halus:-
2 helai daun kunyit
6 helai daun limau purut
Bahan untuk di goreng tanpa minyak:-
2 sudu besar ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
Cara Membuat:
Rebus paru (agar mudah di potong) dan potong nipis (lebih tebal dari dendeng)
Bahan - bahan ramuan dimesin halus.
Goreng tanpa minyak rempah 3 sekawan - mesin halus dan ketepikan.
Didihkan santan, bahan ramuan, daun yang dihiris halus, dan masukan paru yang telah direbus dan dihiris.
Gaulkan sebati dan biarkan paru sampai setengah matang. Setelah itu angkat paru yang setengah matang tadi, ketepikan.
Masak santan dan ramuan tadi semula sampai ramuan mengeluarkan minyak.
Ambil minyaknya dan tinggalkan ramuannya sahaja.
Lebihan ramuan tadi masak sampai bewarna coklat tua dan kering (kacau selalu jangan sampai hangit)
Sementara itu goreng paru yang setengah matang tadi dengan minyak yang diambil dari ramuan tadi.
Goreng sampai masak.
Bersama-sama minyaknya tadi, masukan paru ke dalam ramuan yang sudah kering, campurkan rempah dikisar halus tadi (rempah tiga sekawan) dan gaulkan, kacau sebentar.
Angkat dan sajikan.
No comments:
Post a Comment