Saturday, October 13, 2012

Biskut @ Kek Batik Marie Coklat Mudah



Biskut @ Kek Batik Marie Coklat Mudah- Amy

Bahan-bahan:
1 buku butter
1 cawan (metrik) susu pekat
1 paket biskut marie – dipatah-patahkan
½ kilo coklat compound (500 gm)- di cincang kecil

Cara-cara
1.  Cairkan butter dalam kuali..kacau..di atas api perlahan
     sampai cair.
2.  Masukkan 1 cawan susu pekat ke dalam kuali tadi..
     kacau sebati.
3.  Masukkan coklat compound yang telah di cincang kecil
     ke dalam kuali, Kacau perlahan sehingga sebati.
4.  Masukkan  biskut merry yang telah siap dipatah-
     patahkan. Kacau sampai sebati.
5.  Masukkan dalam plastik tahan panas, ratakan dan
     di gulung plastik tersebut.
6.  Sejukkan dahulu barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk.
7.  Jika ingin memotong keluarkan dahulu plastik berisi
     adunan tadi, 15-20 minit, supaya mudah di potong.
     * Resepi ada pelbagai...ada bubuh telur, ada bubuh air,
        ada bubuh milo , ovaltine, nestum, kekacang.Tapi 
       inilah yang paling mudah dan rasanya tetap sedap!!!. 




Gulai Pisang Muda Ikan Talang


Gulai Pisang Muda Ikan Talang - Amy

Bahan-bahan
1 sikat pisang muda (pisang sayur)
4-5 keping hirisan ikan talang masin
3 cawan santan pekat
2 helai daun kunyit
2 batang serai – di titik
garam secukup rasa

Bahan mesin
20 -25 biji ciliapi
1 inci kunyit hidup
Segenggam ikan bilis

Cara
1.
Pisang dibuangkan kulit, potongkan dan rendam 
    dalam air.
2. Panaskan periuk, masukkan bahan tumbuk dan 
   santan.
3. Kacau perlahan-lahan di atas api sederhana kecil.
   Masukkan pisang, serai dan daun kunyit. 
4. Kacau sekali-sekala hingga mendidih dan pisang 
   lembut.
5. Masukkan ikan masin talang, juga tambah garam 
   jika perlu.
* semenjak dua menjak ni masak lauk kampung sebab 
dah lama tak makan lauk macam ni...nak menunggu 
hubby dan anak-anak pandai makan segala lauk 
kampung ni...memang payahlah...jadi lauk-lauk macam
ni ...setahun sekali je kut...di masak pasal...yang lain
tak reti...hmmmmm....!!!!



Friday, October 12, 2012

3 Perkara Yang Elok Disebut, 2 Perkara Jangan Disebut...



3 Perkara yang elok disebut:
1.  Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut
makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut
atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita
sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa
terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan
kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan
menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat
baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu
banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji
Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya
apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini
hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2.  Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut
urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan
akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran
masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur
di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga
1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan 
kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat.
Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan
Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat
(WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang
sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah
Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah
Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi
dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali
ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut
perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam
dan melabur saham akhirat.

3.  Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal
kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering
memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara
tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.
Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat
demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan
amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang
jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan
yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan
semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.
Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat
mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini
eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah
terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh
dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk
dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa
pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang
dengan dosa?


2 Perkara Jangan Disebut:
1.  Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan
keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap
diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada
diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-
nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada
kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.
Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu
macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung.
Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat
kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit
hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam
sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita
buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak’ atau
bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran
sesiapa yang memakai sifatNya (riak') tidak akan
mencium bau syurga adalah satu unsur dari syirik
(khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya
menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan
diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa
perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu
sebenarnya datang dari  Allah. Allah yang menyuruh
kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada
Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya
mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita
terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

2.  Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan
keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan
hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu
menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan
dan kekurangan orang lain.
Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga
terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita
sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang
lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan.
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya
dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan
diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita
sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk
kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi
4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna
bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita
lebih buruk daripadanya.! Oleh sebab itu, biasakan
diri kita melihat keburukan diri kita bukannya
keburukan orang lain.
Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi
kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan
sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan
sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang
ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak
kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat
diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada
diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya
dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan
yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat
kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita
seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat
dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga
ke akhirat. Amin..

Thursday, October 11, 2012

Terung Rebus Udang Bercili


Terung Rebus Udang Bercili   - Amy
Bahan-bahan :
2 biji terung panjang
Sejemput Udang basah
2 sudu besar udang kering
2 ulas bawang putih - ditumbuk
2 labu bawang merah - ditumbuk
Sedikit cili padi - ditumbuk. Bergantung tahap kepedasan
Setengah biji limau nipis - ambil jusnya
Secubit gula
Sesudu sos ikan

Caranya :
Belah dua terung. Rebus. Ketepikan.
Udang kering bahagi dua. Separuh di tumbuk. Ketepikan.
Separuh lagi jangan di tumbuk.
Campurkan bahan tumbuk, udang kering, sos ikan,
jus limau nipis dan gula.
Tumis bahan-bahan di atas sekejap. 
Masukkan udang basah, gaul rata. Biar udang masak.
Letak bahan-bahan yang di tumis, ke atas terung dan hidangkan.

Tuesday, October 9, 2012

Selamat Menghadapi Peperiksaan !!!!


Hari ini anak-anak menghadapi peperiksaan…
Iqa PMR…Ira ujian akhir tahun..dan kakak Insya Allah
bulan depan..
Minggu depan hari Sabtu ada perjumpaan ibu bapa
di Kuala kelawang,termasuklah Solat Hajat….
Hari Ahadnya kakak Diba ada seminar di Univ.Nilai…
Sebagai ibu hanya doa yang saya panjatkan..semuga
Allah SWT permudahkan untuk anak-anak menjawab
soalan…bukan untuk anak-anak saya saja..tetapi untuk
anak-anak orang lain juga…
Sepatutnya entry ni saya masukkan malam tadi...tapi
anak-anak saya suruh masuk tidur lebih awal...jadi lappy
ni pun offlah juga.....
Saya pesan pada anak-anak dan pada anak-anak 
sesiapa juga, baca Bismillah…baca doa semuga 
tenang dan terang untuk menghadapi peperiksaaan …..
Selebihnya serahkan sahaja kepada Allah SWT…..

Monday, October 8, 2012

Pucuk Ubi Kayu Masak Sambal Tempoyak


Pucuk Ubi Masak Tempoyak - Amy
1 ikat pucuk ubi - dimayang halus
2 papan petai - belah dua, ambil isinya
1 ikat pucuk labu - di mayang halus (kalau x ada x apa)
2 batang serai - hiris nipis
2 helai daun kunyit - mayang halus
2 cm kunyit hidup
5 sudu besar tempoyak
15 biji cili api - tumbuk
1 biji kelapa – ambil santannya
1 mangkuk kecil ikan bilis
Garam gula & secukup rasa

CARA :
1. Daun pucuk ubi, daun labu, daun kunyit dan
    serai di hiris halus. Ketepikan.
2. Petai belah dua –ketepikan.
3. Tumbuk kunyit hidup bersama cili padi sehingga lumat.
4. Masukkan tempoyak bersama dengan bahan
   yang dihiris halus, petai dan bahan tumbuk 
   kedalam kuali.
5. Masukkan santan, ikan bilis, garam juga gula.
6. Masak di atas api perlahan.Masak sehingga kuah pekat.

Sunday, October 7, 2012

Sayur Nangka Masak Lemak Cili Padi Campur Ayam

Sayur Nangka Masak Lemak Cili Padi + Ayam - Amy

Bahan-bahannya:-
500 gm ayam – dipotong
500ml santan
500 gm nangka muda dipotong kecil dan dibersihkan
15 ulas cili padi * ditumbuk
4 cm kunyit hidup*
2 inci halia*
2 batang serai diketuk
1 helai daun kunyit disiat
400 ml air
Garam secukup rasa.

Cara:-
1.  Nangka muda di potong 4 cm, direbus empuk.
   Ketepikan.
2.  Ayam dibersihkan dipotong kecil.Masukkan
   ke dalam periuk.Masukkan air.
3.  Masukkan bahan tumbuk yang bertanda*.
   Didihkan.
4.  Masukkan santan, serai ketuk, daun kunyit,
Nangka muda yang telah direbus, garam
secukup rasa.
5.  Kecilkan api dan kacau perlahan sehingga masak
   dan kuahnya pekat.Angkat dan hidangkan.

Entry lain yang anda mungkin suka...

Related Posts with Thumbnails