Friday, October 12, 2012

3 Perkara Yang Elok Disebut, 2 Perkara Jangan Disebut...



3 Perkara yang elok disebut:
1.  Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut
makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut
atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita
sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa
terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan
kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan
menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat
baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu
banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji
Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya
apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini
hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2.  Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut
urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan
akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran
masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur
di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga
1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan 
kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat.
Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan
Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat
(WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang
sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah
Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah
Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi
dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali
ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut
perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam
dan melabur saham akhirat.

3.  Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal
kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering
memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara
tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.
Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat
demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan
amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang
jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan
yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan
semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.
Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat
mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini
eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah
terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh
dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk
dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa
pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang
dengan dosa?


2 Perkara Jangan Disebut:
1.  Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan
keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap
diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada
diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-
nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada
kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.
Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu
macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung.
Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat
kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit
hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam
sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita
buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak’ atau
bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran
sesiapa yang memakai sifatNya (riak') tidak akan
mencium bau syurga adalah satu unsur dari syirik
(khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya
menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan
diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa
perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu
sebenarnya datang dari  Allah. Allah yang menyuruh
kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada
Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya
mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita
terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

2.  Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan
keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan
hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu
menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan
dan kekurangan orang lain.
Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga
terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita
sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang
lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan.
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya
dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan
diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita
sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk
kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi
4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna
bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita
lebih buruk daripadanya.! Oleh sebab itu, biasakan
diri kita melihat keburukan diri kita bukannya
keburukan orang lain.
Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi
kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan
sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan
sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang
ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak
kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat
diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada
diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya
dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan
yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat
kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita
seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat
dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga
ke akhirat. Amin..

1 comment:

Entry lain yang anda mungkin suka...

Related Posts with Thumbnails