Iktibar Israk Mikraj:
Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam
firmannya yang bermaksud;
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid
Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui . (Surah al-Isra':1)
Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat
mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT.
Antaranya ialah;
Wajib beriman dengan perkara ghaib
Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah
menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima
perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil
masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap
umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada
Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak
perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar.
Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat
sebenarnya.
Perintah wajib mengerjakan sembahyang.
Ibadah sembahyang yang difardhukan Allah SWT pada malam Israk
dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat
bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam
wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan.
Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh
rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan.
Wajib percaya dengan hari Kiamat
Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara,
seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala
perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang
uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam
Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam
bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat
persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu.
Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara
dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan
semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga
mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.
Wajib percaya dengan azab Tuhan
Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW
dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar
menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah
amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa.
Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi
perbuatan dosa.
Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang
menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim
memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan.
Wajib percaya dengan qada dan qadar
Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini,
manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa
didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa
musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian
itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan
2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Siti Khadijah isterinya dan Abu Talib
bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga
dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.
Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan
menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa
musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu
bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.
Sumber: di sini.
No comments:
Post a Comment